KOTA TINGGI: Laporan media yang tidak tepat bukan sahaja boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat malah akan menggugat kestabilan dan keselamatan negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, oleh itu media digesa memberikan laporan yang betul, berintegriti dan penuh tanggungjawab.
“Walau apa bentuk media sekalipun, bagi saya apa yang lebih penting adalah hala tuju kita bersama iaitu media bertaraf dunia berdasarkan fakta dan kesahihan berita.
“Laporan media tidak tepat boleh membangkitkan sensitiviti perkauman, malah dalam keadaan yang ekstrem boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara,” katanya ketika berucap dalam Acara Menembak Ketua Polis Johor Bersama Media Johor di Lapang Sasar Ladang Rem, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Presiden Kelab Media Johor, Mohd. Fauzi Ishak.
Menurut Ayob Khan, peranan media massa tidak dapat dinafikan amat penting untuk mempengaruhi persepsi orang ramai terutamanya di era dunia tanpa sempadan.
Katanya, orang ramai kini bukan sahaja tertumpu kepada media elektronik tetapi mula berinteraksi dalam media dalam talian seperti WhatsApp, Youtube dan lain-lain aplikasi.
Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan Polis Johor dengan media negeri ini amat baik dan ia adalah hasil persefahaman yang erat antara kedua-dua pihak.
“Daripada penilaian saya, berita-berita dilaporkan oleh tuan-tuan dan puan-puan menepati etika kewartawanan.
“Berita berkaitan kejayaan Polis Johor serta kejadian jenayah dilaporkan dengan penuh tanggungjawab, menepati fakta dan berdasarkan konsep menang-menang,” katanya.
Terdahulu, beliau menyertai lebih 50 peserta menyertai acara menembak yang juga melibatkan barisan pegawai kanan Polis Johor, ketua-ketua Polis Daerah dan ahli-ahli Kelab Media Johor. – UTUSAN