Lantai runtuh: Dua maut, seorang cedera parah - Utusan Malaysia

Lantai runtuh: Dua maut, seorang cedera parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan pantas seorang pekerja warga Myanmar sebuah kilang memproses makanan haiwan di Ijok, di sini yang berlari keluar selepas menyedari lantai di tingkat satu premis itu runtuh menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun, dua rakan senegaranya, Mohammad Rahim Md. Kabir dan Hedayad Tullah Adu Karim meninggal dunia di tempat kejadian manakala Habi Basyar Abul Nazal cedera teruk di kepala.

Menurut Korim Mordim Sirajuddin, 22, sebelum kejadian, dia baru sahaja selesai melakukan kerja dan mangsa memintanya membantu kerja pemunggahan.

“Namun,selepas berjalan kira-kira tiga langkah, saya terkejut lantai dari tingkat satu tiba-tiba runtuh sebelum menghempap semua mangsa.

“Saya segera berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata,
pihaknya menerusi Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.49 tengah hari.

“Kami mendapati seorang mangsa yang parah di kepala sudah dihantar pihak kilang ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk menerima rawatan.

“Kami kemudian menjalankan operasi mencari dua lagi mangsa yang ditemukan tertiarap di bawah runtuhan konkrit itu pada pukul 1.30 petang,” katanya.

Tambah Norazam, kedua-dua mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati kilang tersebut dalam proses untuk berpindah ke lokasi lain.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan status bangunan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya