PUTRAJAYA: Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat berhubung kesilapannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, Khairuddin berkata, beliau akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri untuk Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid19) di bawah Kementerian Kesihatan.
Jelasnya, gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana keputusan jemaah Menteri.
“Saya juga akan terus bekerja keras dan melipatgandakan usaha dan tenaga untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, khususnya lebih sejuta pekebun kecil berpendapatan rendah B40 sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan telah membayar kompaun itu.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu pulang dari Turki pada 7 Julai lepas dan hadir ke Parlimen enam hari selepas itu. Sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil terhadap Khairuddin pada hari ketibaaannya dan didapati negatif.
Ujian saringan kali kedua dan ketiga juga telah diambil dan kedua-duanya negatif. -UTUSAN