KLANG: Seorang bapa bakal dipenjara 40 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mengeksploitasi isteri dan anaknya bagi tujuan seks antara 2015 hingga 2020.
Tertuduh, seorang pemandu lori berusia 43 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Zamzaini Mohd. Zain.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa mengeksploitasi seks dengan menggunakan paksaan terhadap isteri dan anaknya, masing-masing berusia 36 tahun dan 13 tahun tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan terhadap isterinya di sebuah kondiminium dan loji air di Batu 9, Cheras antara Januari 2015 dan Mei 2019 manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengeksploitasi kanak-kanak terbabit di kondominium sama antara Januari 2019 dan Februari 2020.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 13(b) dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran. Sabit kesalahan, setiap pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj tidak menawarkan sebarang ikat jamin berikutan kes itu menarik perhatian orang awam dan merupakan kesalahan serius.
Difahamkan, tertuduh mengeksploitasi isteri dan anak sulungnya berikutan kegagalan membayar bayaran bulanan kondominium yang baharu dibelinya berjumlah RM1,700.
Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh jatuh hukum pada 19 Ogos ini.
Sementara itu, empat lelaki warga asing (tiga Pakistan, seorang Bangladesh) telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang atas tuduhan merogol remaja perempuan terbabit.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kesemua lelaki berkenaan tidak memahami bahasa Melayu. – UTUSAN