Kisah Mohammad Fadhly, doktor perubatan berkerusi roda di Hospital Melaka - Utusan Malaysia

Kisah Mohammad Fadhly, doktor perubatan berkerusi roda di Hospital Melaka

DR. Mohammad Fadhly Yahya menunjukkan anugerah yang diterima kepada isterinya, Dr. Nor Hanisah Mohd. Said sempena Anugerah Khas Maal Hijrah 1442H/2020M di MITC, Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kelumpuhan yang dialaminya tidak sesekali menjadi penghalang atau alasan kepada Dr. Mohammad Fadhly Yahya, bapa kepada dua cahaya mata untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

Malah, tanggungjawab menggalas jawatan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka juga bukan calang-calang meskipun perlu berkerusi roda untuk melakukan rutin harian melawat pesakit di wad secara berkala pada setiap hari.

Tiada istilah mengaku kalah dalam diri individu tersebut walaupun detik hitam kira-kira enam tahun lalu merentap keupayaannya untuk berjalan seperti insan normal lain.

Bagi Dr. Mohammad Fadhly, 49, status orang kurang upaya (OKU) bukan satu kelemahan tetapi sokongan semua pihak terutama ahli keluarga dan rakan sekerja adalah pembakar semangat untuk beliau terus memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

“Alhamdulillah, berkat sokongan tersebut dengan izin Allah SWT saya kembali berkhidmat di Hospital Melaka selepas selama setahun cuti sakit akibat kemalangan motosikal pada 2014.

“Saya disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas kemalangan tersebut dan perlu berkerusi roda tetapi atas semangat yang kuat serta sokongan ramai, saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa walaupun dalam keadaan berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Dr. Mohammad Fadhly ditemani isterinya, Dr. Nor Hanisah Mohd. Said menerima Anugerah Cendekiawan Perubatan (Anugerah Ibnu Sina) daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sempena Anugerah Khas Maal Hijrah 1442H/2020M.

Sementara itu, penganugerahan yang diterima bukan bersifat peribadi sebaliknya Dr. Mohammad Fadhly menyifatkan ia membawa kewibawaan jabatannya dalam memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

Katanya, setiap tanggungjawab yang dipikul oleh semua petugas perubatan termasuk dirinya perlu berpaksikan pada keikhlasan hati dan tidak mengharapkan imbuhan kerja semata-mata.

“Kami merawat lebih kurang 350 hingga 450 pesakit setiap hari. Jika kita mengharapkan imbuhan atau gaji, memang kita akan sentiasa merungut.

“Jika kita ikhlaskan diri, yang mana saya selalu titipkan kepada warga kerja di Jabatan Kecemasan dan Trauma, inilah peluang besar untuk kita semua kumpulkan pahala,” katanya.

Beliau juga sempat memberikan kata-kata semangat kepada OKU lain agar jangan berputus asa dan sentiasa lakukan apa sahaja yang diingini mengikut kemampuan diri selain mengharapkan sokongan masyarakat sekeliling. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN