Kilang beras di Kuala Sanglang kembali operasi - Utusan Malaysia

Kilang beras di Kuala Sanglang kembali operasi

PESAWAH mula menuai hasil padi mereka. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang di sini bukan sahaja mengembirakan penduduk di kawasan tersebut malah para pesawah di situ dan sekitarnya.

Selepas berminggu-minggu resah apabila salah sebuah kilang beras yang terletak di kawasan Temco itu tidak dapat beroperasi, para pesawah sudah boleh menghantar hasil tuaian mereka di kilang terbabit yang mula dibuka.

Para pesawah menzahirkan rasa syukur dengan perkembangan tersebut selepas hampir berdepan risiko kerugian sekiranya hasil tanaman mereka yang boleh dituai ketika ini tidak dapat dijual.

Seorang pesawah dari Kampung Sungai Baru, Razali Saad, 54, berkata, dia dan pesawah gembira selepas mendapat perkhabaran kilang beras di Kuala Sanglang  boleh beroperasi selepas perlaksanan Temco di kawasan itu berakhir semalam.

Katanya, dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, hasil tanamannya di kawasan seluas tiga hektar boleh dituai dan akan dijual di salah sebuah kilang beras milik syarikat Dibuk Sdn. Bhd di Kuala Sanglang. 

“Pada awalnya saya buntu jika kilang tersebut hanya boleh beroperasi selepas Temco berakhir pada 31 Ogos ini, namun semalam kerajaan umumkan Temco berakhir.

“Menjelang sambutan kemerdekaan beberapa hari lagi, kami sudah bebas awal hari ini. Apabila Temco sudah berakhir dan para pesawah tidak perlu lagi bimbang memikirkan hasil mereka akan dijual di mana selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi pesawah dari Sungai Padang, Kuala Sanglang, Ismail Sawai, 67, turut lega dengan perkhabaran bahawa pelaksanaan Temco sudah berakhir seterusnya kilang beras di kawasan tersebut kembali beroperasi.

“Alhamdulilah, sejak seminggu lalu saya runsing memikirkan masalah ini. Setiap musim saya menjual lebih 300 tan metrik padi di kilang tersebut (Dibuk), kalau tidak operasi mengundang masalah kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Dibuk, Marzukhi Othman,62, berkata, kilangnya mula membeli hasil padi para pesawah di kawasan tersebut bermula hari ini.

“Alhamdulilah, kilang sudah kembali dibenarkan operasi selepas berakhirnya Temco. Kita dijangka membeli kira-kira 6,000 tan padi membabit 2,000 pesawah di kawasan Sanglang dan Simpang Empat,” katanya.

Selain di kilang beras Dibuk, hasil padi pesawah di negeri ini juga boleh dihantar di beberapa kilang beras milik Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan kilang-kilang lain yang beroperasi di negeri perlis dan sempadan negeri Perlis dan Kedah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya