TANJONG KARANG: Seramai 20 peniaga di kawasan parkir berhampiran Jalan Besar, Tanjong Karang di sini kesal dengan tindakan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang mengeluarkan notis melarang mereka meneruskan operasi perniagaan di kawasan tersebut.
Notis larangan berniaga di kawasan tempat letak kereta itu diserahkan kepada peniaga pertengahan bulan ini.
Peniaga pakaian, Abdul Latif Abu Bakar, 43, berkata, mereka sebelum ini diberikan permit sementara untuk operasi Bazar Ramadan di lokasi sama.
“Kami berniaga di sini sejak 10 tahun lalu dan hanya menjalankan perniagaan pada waktu malam di hadapan deretan premis sedia ada.
“Peniaga hanya mohon permit sementara untuk menjalankan operasi perniagaan sementara menunggu kawasan itu diwartakan sepenuhnya.
Seharusnya MDKS membantu peniaga yang sememangnya terkesan ekoran pandemik Covid- 19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Peniaga kasut, Hairol Nizan Othman, 42, pula berkata, tapak parkir tersebut lokasi strategik berikutan terletak di la luan utama pekan Tanjung Karang.
“Kebanyakan kami berniaga hampir 10 tahun di kawasan ini yang menjadi punca pendapatan menyara keluarga. “Saya berharap permohonan kami untuk kekal berniaga dapat dipertimbangkan sewajarnya,”
katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyatakan kekesalan berhubung perkara tersebut dan telah menyerahkan surat rasmi kepada Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat Isnin lalu.
Menurut beliau, peniaga beroperasi empat jam sahaja bermula pukul 8 malam dengan berniaga makanan, minuman dan buah-buahan.
“Saya berharap permohonan permit sementara untuk kesemua 20 peniaga itu segera diteliti sekali gus mewartakan tapak tersebut.
“Peluang perniagaan seumpama ini sememangnya perlu disokong apatah lagi mereka telah berniaga sejak sekian lama,” katanya. – UTUSAN ONLINE