Kes Hot Burger: Bukit Aman bertindak - Utusan Malaysia

Kes Hot Burger: Bukit Aman bertindak

Pendedahan Mohd Asri Hamid mengenai kegiatan judi di Sungai Buloh, Selangor, menjadi viral di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah dan ketua-ketua bahagian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh diarahkan menye­rahkan dokumen mengenai operasi ke­giatan perjudian dalam talian, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan asing yang dilakukan mereka kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, dokumen itu akan diteliti sama ada pemantauan dan operasi telah dijalankan oleh mereka atau sebaliknya.
Ia sekali gus menunjukkan tiada mana-mana pegawai dan anggota akan terlepas daripada diambil tindakan sekiranya mereka didapati melindungi kegiatan haram itu.

“Kita telah hantar pasukan JIPS, Bukit Aman ke IPD ber-kenaan semalam untuk peroleh beberapa dokumen dan apa sahaja keputusan, akan dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang peniaga rokok seludup ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam tangkapan kira-kira pukul 9 pagi, ketiga-tiga pegawai yang bertugas di cawangan Sungai Buloh dan Shah Alam itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas dipanggil memberi keterangan.

Menurut sumber, peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video pula akan ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.

“Peniaga ini telah beroperasi sejak tahun 2019 dan suspek dikatakan telah membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.

“Ketiga-tiga suspek berusia 41 hingga 49 tahun itu dipercayai menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

“Semua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” jelasnya.

Beliau menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti rasuah dalam kalangan penguat kuasa tampil memberikan kerjasama dan identiti serta maklumat pemberi maklumat akan dilin­dungi sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN