JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri digesa memikul tanggungjawab untuk menanggung kos kuarantin rakyatnya yang pulang dari luar negara.
Dalam kenyataan bersama wakil rakyat dari Johor iaitu Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, pihak kerajaan negeri wajar mencontohi usaha Kerajaan Sarawak yang masih menanggung kos kuarantin rakyatnya yang tiba dari luar negara.
Menurut mereka lagi, malah kos yang dikenakan iaitu RM2,100 merupakan satu bebanan terhadap mereka yang tidak berkemampuan.
“Ini turut menimbulkan tanda tanya apabila jumlah ini hanya menampung 44.7 peratus daripada kos kuarantin sedangkan pada April lalu, kerajaan telah menanggung sebanyak RM150 sehari atau RM 2,100 untuk kos tempat tinggal dan makan.
“Ini bermakna rakyat Malaysia yang pulang ketika ini perlu menanggung 100 peratus kos tempat tinggal dan makan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, terdapat dalam kalangan rakyat negara ini kini terpaksa pulang ke Malaysia kerana kekangan kewangan akibat diberhentikan kerja di samping pintu sempadan telah ditutup sejak 18 Mac lalu.
“Terdapat juga kumpulan warga tempatan melibatkan warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak telah memilih untuk tidak pulang sejak lima bulan lalu kerana tidak mampu berjalan kaki menyeberang Tambak Johor.
“Selain itu, mereka beranggapan pintu sempadan akan dibuka pada sebelum ini, sebaliknya ia hanya akan dibuka pada 17 Ogos depan,” kata mereka.
Menurut kedua-dua ahli Parlimen itu, kerajaan didesak untuk meneliti perkara ini dan mengambil pendekatan yang lebih prihatin demi membela nasib rakyat Malaysia.
“Janganlah meletakkan kegagalan atau ketidakpatuhan oleh segelintir mereka yang melanggar kuarantin di rumah sebelum ini kepada warga yang terpaksa pulang ketika ini yang perlu membayar kos di pusat kuarantin,” kata mereka.
Bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan bahawa tiada lagi kuarantin di rumah bagi rakyat Malaysia dan warga asing yang tiba di negara ini, sebaliknya individu-individu terbabit akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.
Mereka yang terlibat akan menanggung kos kuarantin di stesen-stesen kuarantin, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.
Keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mendapati terdapat individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah. – UTUSAN