PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar menjadikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah kerajaan prihatin rakyat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyatnya.
Prinsip itu, tegas beliau, akan diterjemahkan dalam apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi masa depan.
“Kebajikan rakyat mesti diutamakan. Yang susah dibantu, yang lemah dipapah.
Itulah lambang keprihatinan kerajaan kepada rakyat. Saya ingin tekankan bahawa
Kerajaan PN adalah kerajaan prihatin rakyat. Saya berikrar untuk menjadikan prihatin rakyat sebagai prinsip panduan utama Kerajaan PN.
“Prinsip ini telahpun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Insya-Allah, prinsip prihatin rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan,” katanya pada Perutusan Khas Hari Kebangsaan Ke-63 menerusi saluran-saluran televisyen tempatan malam tadi.
Walaupun kerajaan berada dalam situasi sukar, Perdana Menteri berkata, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan.
Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, Muhyiddin menyeru rakyat supaya menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.
“Prihatinlah terhadap keluarga, sahabat, jiran, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita.
“Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah kemerdekaan, pertahankan kedaulatannya, peliharalah keamanannya. Insya-Allah, tanah air kita yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya,” ujar beliau.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 memberikan pengajaran yang amat
bermakna kepada rakyat dan rakyat berjaya menangani krisis ini kerana prihatin.
“Para petugas barisan hadapan bekerja siang dan malam melawan Covid-19 kerana mereka semua prihatin. Para sukarelawan sedia membantu mengagihkan bantuan makanan, menyediakan peralatan pelindungan peribadi dan lain-lain kerana mereka prihatin.
“Saudara dan saudari juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan untuk melindungi diri, keluarga dan orang sekeliling kerana saudara dan saudari
semua prihatin. Kita rakyat Malaysia prihatin terhadap satu sama lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE