Kemas kini aplikasi MySejahtera versi 24 - Utusan Malaysia

Kemas kini aplikasi MySejahtera versi 24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai untuk mengemaskini aplikasi Mysejahtera masing-masing bagi membantu kerajaan membuat pengawasan dalam penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi tersebut kini membolehkan fungsi daftar masuk dilakukan oleh pengguna dan juga tanggungan secara serentak apabila memasuki sesuatu premis.

Katanya, fungsi tersebut dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepatkan proses daftar masuk selaras dengan tujuan kerajaan dalam mewajibkan semua individu yang memasuki mana-mana premis untuk merekodkan kehadiran.

“Fungsi ini boleh digunakan selepas pengguna mengemaskini aplikasi kepada versi ke-24.

“Bagi individu yang ingin mendaftar bagi beberapa individu, anda boleh pilih nama-nama yang ingin dimasukkan dalam aplikasi ini,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Pada masa yang sama, aplikasi itu turut membantu Kementerian Kesihatan mendapat maklumat awal untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan seterusnya menangani pandemik tersebut.

Tambah Noor Hisham, sebelum menggunakan fungsi tersebut, orang ramai diminta memilih ‘lain-lain’ di menu utama aplikasi MySejahtera dan kemudian memilih aktiviti ‘Tambah Tanggungan’.

“Setelah itu, anda diminta mengisi butiran ahli keluarga di bahagian bawah sebelah kanan. Pastikan semua maklumat yang dimasukkan adalah betul.

“Setelah selesai memasukkan butiran ahli keluarga, tekan ‘simpan’ atau pilih ‘tambah satu lagi’ sekiranya ingin memasukkan maklumat ahli keluarga seterusnya,”jelasnya.

Beliau berkata, tiada had yang ditetapkan bagi bilangan nama yang boleh dimasukkan sebagai tanggungan seseorang individu.

“Fungsi ini boleh digunakan oleh semua pengguna aplikasi MySejahtera untuk mendaftar di semua premis yang berdaftar dengan aplikasi ini,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya