Keluarga resah, syak Nora Anne diculik - Saksi - Utusan Malaysia

Keluarga resah, syak Nora Anne diculik – Saksi

KENDERAAN membawa Maimoonah Aid tiba di resort, lokasi kehilangan Nora Anne Quoirin. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin memasuki hari kedua di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar menjadi saksi ketiga yang dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan koroner, Maimoonah Aid.

Sewaktu memberikan keterangan, Mohd. Nor Marzukee memaklumkan, pihaknya  membuat pemeriksaan di tiga buah rumah berhampiran kawasan resort The Dusun tempat mangsa dan keluarganya menginap.

Beliau  memberitahu, pemeriksaan tersebut  atas permintaan keluarga mangsa selepas mereka mengesyaki Nora Anne diculik.

“Keluarga mengesyaki anaknya (Nora Anne) di bawa keluar dari resort dan diculik seseorang, banyak soalan daripada mereka ketika itu dan saya menganggap mereka berada dalam keresahan,” katanya.

Menurut Mohd. Nor Marzukee, pihaknya turut melakukan sekatan jalan di dua laluan keluar berhampiran Balai Polis Pantai berasaskan kemungkinan Nora Anne yang dikatakan mempunyai pemikiran seperti kanak-kanak berumur tujuh tahun berjalan di tepi jalan atau menumpang kenderaan orang awam.

Prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Nora Anne, 15,  anak istimewa bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu,  mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019. 

Bagaimanapun, remaja itu dilaporkan hilang keesokan harinya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari kemudian. 

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah sebaliknya  mati akibat kebocoran usus berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan mengalami tekanan berpanjangan. 

Inkues  dijadualkan  selama dua minggu dengan kira-kira  64 saksi utama akan dipanggil memberikan keterangan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya