Kekalkan kuasa pemerintahan bersama Agong - Utusan Malaysia

Kekalkan kuasa pemerintahan bersama Agong

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pingat kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin di Balairung Seri, Istana Abu Bakar Pekan, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kuasa eksekutif mentadbir kerajaan bertukar ganti, tetapi kuasa pemerintahan negara perlu kekal selamat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong yang mana Seri Paduka menjadi wakil kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Menyentuh pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelantikan itu meneruskan legasi kecemerlangan kerajaan yang dilantik dan diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Baginda bertitah, menerusi kuasa dimiliki Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu, proses perubahan kuasa eksekutif sentiasa dapat dijalankan dalam suasana yang tenang dan membawa manfaat kepada semua pihak.

“Kuasa itu (pemerintahan negara) harus kekal bersama Raja-raja Melayu sebagai penjaga amanah kuasa Allah SWT di muka bumi ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-61 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada istiadat berkenaan, lapan anakanda Al-Sultan Abdullah antara 56 penerima darjah kebesaran dan pingat yang disempurnakan pengurniaannya oleh Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tiga anakanda Sultan Pahang menerima Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri iaitu Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah dan Tengku Puteri Iman Afzan.

Lima lagi anakanda Al-Sultan Abdullah menerima Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera iaitu, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri IIisha Ameera, Tengku Puteri IIyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Daripada 56 penerima itu, 19 orang menerima SSAP, SIMP (lapan orang), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk (lapan orang), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) juga bergelar Datuk (16 orang).

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, kedaulatan seseorang sultan itu merupakan anugerah yang hanya boleh diperolehi dengan memperhambakan diri secara keseluruhannya kepada Allah SWT, pemilik segala kuasa yang melimpahkurniakan pangkat, kedudukan dan menzahirkan kesultanan itu sendiri.

Dalam pada itu, baginda bertitah, negara pada ketika ini sedang diuji dengan beberapa bentuk ujian yang begitu besar.

Ujian itu titah baginda, bukan untuk menjatuhkan tetapi menjadikan rakyat lebih matang, kuat dan tabah jika dapat secara bersama-sama mengharunginya dengan sabar dan bertindak tepat.

“Yang di-Pertuan Agong telah menunjukkan contoh teladan yang baik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19. Nasihat serta contoh teladan dipamerkan, tidak lain hanya melambangkan keikhlasan dan kasih sayang tulen yang tersemat dalam hati Seri Paduka terhadap rakyat jelata dan negara tercinta ini,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN