KUALA TERENGGANU: Pas menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sebagai kejayaan amat bermakna bagi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan itu sekali gus menandakan penerimaan rakyat pelbagai kaum di kawasan bandar dan luar bandar.
“Tahniah atas kemenangan berturut-turut yang dicapai dalam PRK DUN Slim pada hari ini.
“Kejayaan ini adalah amat bermakna terhadap MN dan PN, menandakan penerimaan rakyat pelbagai kaum di kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus menuntut kita untuk terus mengukuhkan perpaduan dan memberikan khidmat yang terbaik demi kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini.
BN mengekalkan kerusi DUN Slim pada PRK hari ini dengan kemenangan besar apabila meraih majoriti 10,945 undi.
Dalam keputusan yang diumumkan hari ini, calon BN, Mohd. Zaidi Aziz mendapat 13,060 undi, menewaskan dua calon Bebas, iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S. Santharasekaran.
Calon Bebas yang disokong Tun Dr. Mahathir Mohamand, Amir Khusyairi pula meraih 2,115 undi manakala Santharasekaran (276 undi).