SEREMBAN: Muhammad Fawwaz Adli Mohd. Bukhari, 6, kanak-kanak yang meninggal dunia semalam selepas terlantar 13 bulan akibat kejadian parah dihempap peti ais pada 12 Julai tahun lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Senawang, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi.
Menurut bapanya, Mohd. Bukhari Zainal Annuar, 34, anaknya itu mula tidak sedarkan diri di sebuah hotel di Melaka semalam, selepas menjalani rutin rawatan saraf.
“Keadaan dia sebelum ini nampak stabil, tiada apa-apa masalah seperti sesak nafas atau mengerang kesakitan. Dalam pukul empat lebih tiba-tiba kami pegang tangan dan kaki dia memang sejuk tapi mata dia masih ada pergerakan.
“Saya terus bawa balik ke Seremban dan ke Hospital Seremban (Hospital Tuanku Ja’afar). Pihak hospital kemudian mengesahkan dia sudah tiada dalam pukul 5.40 petang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengkebumian tersebut.
Tahun lalu, media melaporkan Muhammad Fawwaz Adli parah dihempap peti ais di rumah keluarganya di Taman Cempaka, Nilai, dekat sini.
Selepas kejadian, Muhammad Fawwaz Adli dilaporkan mendapat rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ja’afar dan Hospital Kuala Lumpur serta hanya terlantar, selain tidak dapat bertutur dan berjalan.
Sementara itu, menurut Mohd. Bukhari, sepanjang tempoh 13 bulan tersebut, dia dan isterinya, Siti Khadijah Daud sentiasa berikhtiar membawa anak sulungnya ke pelbagai tempat untuk menjalani rawatan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti perkembangan Fawwaz dan mendoakannya serta yang memberikan sumbangan dan memberitahu tempat-tempat untuk kami buat rawatan untuk dia.
“Kami ucapkan terima kasih, hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik kalian kepada keluarga kami,” katanya. – UTUSAN
kapsyen:
MOHD. Bukhari Zainal Annuar dan isteri, Siti Khadijah Daud bersama salah seorang anak mereka selepas majlis pengkebumian Muhammad Fawwaz Adli di Tanah Perkuburan Islam, Senawang, Seremban, pagi tadi.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
MUHAMMAD FAWWAZ ADLI – Sumber gambar Facebook Mohd Bukhari Zainal Annuar.