BALIK PULAU: Seorang juruteknik maut selepas sebahagian kepala dan tangan kanannya tersepit pada mesin acuan dipercayai ketika melakukan kerja-kerja pembaikan di sebuah kilang industri perubatan di Bayan Baru, di sini semalam.
Mangsa, Zaid Berahim, 33, yang berasal dari Sungai Siput (Utara) di Perak itu dilaporkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada kepala manakala lengan kanannya hancur.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, seramai tujuh anggota termasuk seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pukul 4.08 pagi.
Menurutnya, setelah tiba di tempat kejadian kurang 10 minit kemudian, mangsa yang dalam keadaan berdiri pada mesin didapati sudah tidak sedarkan diri.
“Mangsa telah tersepit pada mesin acuan menyebabkan bahagian kepalanya cedera manakala lengan kanannya hancur.
“Operasi mengeluarkan mayat mangsa dari mesin terbabit berjaya dilakukan pukul 6.09 pagi tadi (semalam) sebaik sahaja pihak ambulans mengesahkan kematiannya di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah pada tubuh badan mangsa dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau (HPP) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” ujarnya.
Jenazah Zaid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Huda Sungai Ara, di sini selepas solat zuhur petang semalam.