KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan asing di Sungai Buloh.
Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya menegaskan, pihaknya kini meneliti laporan serbuan dan tangkapan terhadap kedai-kedai judi yang dilakukan oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan.
Ujarnya, ini asas untuk membuktikan sama ada mereka benar telah bertindak atau sebaliknya ke atas kedai-kedai judi tersebut.
“Kita akan meneliti semua rekod dan maklumat yang ada supaya satu keputusan yang adil dapat diberikan.
“Sebaik sahaja JIPS selesai jalankan siasatan dan analisis, tindakan lanjut akan diambil ke atas pegawai-pegawai berkaitan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid semalam.
Dalam pertemuan itu, beliau telah mendengar penjelasan daripada individu terbabit dan pihak JIPS sedang dalam perkara-perkara yang dibangkitkan.
“Insya-Allah saya akan buat keputusan dalam masa terdekat,’’ katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memburu pegawai dan anggota penguat kuasa yang dipercayai menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor seperti didakwa dalam laman Facebook Hot Burger.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyalurkan maklumat jika ada pegawai atau anggota polis yang dikenal pasti terlibat.
Menurutnya, beliau memandang serius isu tular yang mendakwa pihak berkuasa gagal memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terbabit.
“Saya telah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya yang memaklumkan jabatan itu akan mengambil tindakan tegas ke atas premis perjudian termasuk mana-mana pegawai yang melindungi aktiviti perjudian tersebut,” katanya. – UTUSAN