Jamal sedia bantu PDRM banteras judi - Utusan Malaysia

Jamal sedia bantu PDRM banteras judi

JAMAL Md Yunos menunjukkan poster selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan perjudian di sekitar Selangor.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kini banyak operasi bersepadu giat dijalankan, namun tiada tangkapan melibatkan tauke perjudian serta pemilik-pemilik premis.

“Persoalannya, mereka tahu premis yang digempur itu adalah pusat judi tetapi di mana taukenya, operator serta pemilik premis yang terlibat? Sehingga kini tiada yang didakwa.

“Jadi saya harap dapat bertemu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta bersedia memberi tunjuk ajar kepada PDRM untuk menyelesaikan masalah judi haram di sekitar negeri Selangor dengan pengalaman yang saya ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 3.30 petang hari ini.

Dalam pada itu, Jamal turut menggesa polis membuka kembali siasatan pusat-pusat perjudian yang digempur beliau di sekitar Ampang, Selangor pada tahun 2016 sehingga beliau dituduh dan didakwa di mahkamah atas kesalahan samun berkumpulan iaitu Seksyen 395 Kanun Keseksaan. 

Jelasnya, gesaan itu bukan kerana tidak berpuas hati tindakan yang diambil terhadapnya namun beliau mendapati semakin banyak premis-premis perjudian yang dibuka atas ‘lesen’ pusat hiburan keluarga.

“Saya merasakan saya dizalimi ketika itu walhal ada tinjauan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain dapati kira-kira 5,000 premis perjudian di sekitar Selangor.

“Itu menjadi tanggungjawab saya sebagai orang awam untuk mendedahkan kegiatan itu, jadi saya harap polis boleh buka kembali kertas siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kehadiran Jamal di Bukit Aman kira-kira pukul 5 petang.

Katanya, Jamal hadir memberi keterangan kepada pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya