IPCC lebih adil berbanding IPCMC - Utusan Malaysia

IPCC lebih adil berbanding IPCMC

RUU IPCMC 2019 ditarik balik dan digantikan dengan RUU IPCC 2020 yang disifatkan lebih adil kepada pengadu, penyiasat dan individu dituduh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 lebih adil tanpa menjejaskan kepentingan pengadu, penyiasat dan individu dituduh.

Berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), ia mengundang bantahan dalam kalangan polis kerana memperuntukkan kuasa kepada suruhanjaya terbabit untuk menjalankan siasatan, apatah lagi mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.

Menjelaskan perkara itu, RUU baharu ini mengandungi 47 fasal, sekali gus menyuntik kelainan apabila sebarang tindakan selepas mempertimbangkan dapatan dan syor jawatankuasa aduan akan dilakukan agensi berkaitan, mengikut bidang kuasa masing-masing.

Penambahbaikan itu digariskan dalam fasal 30 RUU berkenaan yang menyatakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 akan dirujuk sekiranya syor jawatankuasa aduan mendapati wujud salah laku dan asas untuk tindakan selanjutnya diambil.

Kes akan turut dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan jika dapatan atau syor jawatankuasa menzahirkan apa-apa kesalahan jenayah mengikut mana-mana undang-undang bertulis.

Fasal 30(1)(c) pula memperuntukkan sebarang salah laku yang dikesan jawatankuasa aduan akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis, dengan syor untuk tindakan tatatertib.

Sekiranya penelitian jawatankuasa aduan mendapati tiada salah laku dilakukan dalam kes berkenaan, aduan kemudian boleh ditolak dan ia dimaklumkan kepada ketua jabatan berkaitan.

Penyiasatan lanjut turut boleh dijalankan menerusi arahan suruhanjaya kepada pasukan petugas jika tidak berpuas hati dengan dapatan dan syor dikemukakan jawatankuasa aduan mengikut subseksyen 29(2).

Dapatan jawatankuasa aduan juga harus direkodkan dan dimaklumkan kepada pengadu mengenai tindakan susulan yang bakal dikenakan berhubung kes terbabit.

Semalam, RUU IPCMC ditarik balik dalam sidang Dewan Rakyat dan ia dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengikut Peraturan Mesyuarat 62.

“Saya mohon untuk tarik balik DR 25/2019 Rang Undang Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis 2019, seperti tertera pada nombor tujuh dalam aturan urusan mesyuarat hari ini,” katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menerima dan mengesahkan keputusan itu turut meluluskan penarikan balik RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 yang berada pada kedudukan keenam dalam aturan urusan mesyuarat semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, kemudiannya mengemukakan peruntukan baharu iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU alternatif itu bakal menyaksikan badan pemantau bebas ditubuhkan, selain mewujudkan peruntukan, fungsi dan kuasa, termasuk berkaitan aduan salah laku serta penyiasatan terhadap anggota polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN