Inkues kematian Nora Anne bermula hari ini - Utusan Malaysia

Inkues kematian Nora Anne bermula hari ini

ORANG awam menyaksikan perjalanan prosiding siasatan kes kematian Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban, Negeri Sembilan menerusi penstriman langsung yang disediakan Badan Kehakiman Malaysia menerusi pautan www.kehakiman.gov.my. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hari pertama inkues kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin bermula pukul 9 pagi ini di Mahkamah Koroner Seremban.

Prosiding inkues dijalankan di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Muhamad Iskandar Ahmad.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menjadi saksi pertama yang dipanggil untuk memberikan keterangan.

Terdahulu, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada koroner, inkues tersebut merupakan prosiding pendengaran penyiasatan bagi memastikan beberapa perkara iaitu siapakah si mati iaitu Nora Anne, bagaimana si mati menemui ajal, bilakah si mati menemui ajal.

Ia juga bagi mengetahui apakah punca kematian si mati dan apakah kematian tersebut disebabkan oleh perbuatan ataupun kecuaian mana-mana pihak.

Dalam pada itu, inkues tersebut dijadualkan berjalan selama dua minggu dan dijangka seramai 64 saksi utama akan dipanggil memberikan keterangan.

Walau bagaimanapun, menurut Maimoonah, jumlah saksi tersebut boleh berubah sama ada berkurang ataupun bertambah bergantung kepada testimoni dan bukti yang diberikan.

Beliau turut memberitahu, bagi kepentingan kepada semua pihak iaitu kepada keluarga mangsa, pihak-pihak lain seperti saksi, inkues tersebut akan dijalankan dengan sebahagiannya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Berdasarkan Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan, mahkamah mengarahkan dan membenarkan prosiding dijalankan sebahagiannya dalam bahasa Melayu dan sebahagian dalam bahasa Inggeris, ini adalah keadilan untuk semua orang dan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, wakil media tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai agensi tiba di Kompleks Mahkamah Seremban seawal pukul 8 pagi bagi membuat liputan prosiding kes tersebut.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Orang ramai boleh menyaksikan perjalanan prosiding tersebut menerusi penstriman langsung yang disediakan oleh Badan Kehakiman Malaysia melalui portal rasmi badan itu pada pautan www.kehakiman.gov.my dan media sosial rasmi di YouTube serta Facebook:The Malaysian Judiciary. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN