BATU PAHAT: “Jangan mempersiakan kemerdekaan yang dikecapi hari ini kerana perjuangan untuk memperolehnya memerlukan pengorbanan besar.”
Demikian ingatan veteran tentera, Nordin Hussin, 85, yang pernah menyaksikan tanah air dalam keadaan huru-hara apabila tentera komunis menyerang seluruh Johor.
Nordin yang menyertai pasukan tentera British pada 1954 di Singapura berkata, ketika itu masyarakat hidup sering dalam ketakutan kerana berhadapan ancaman nyawa.
“Saya paling tidak boleh dilupakan apabila tentera komunis menyerang orang awam dengan membakar sebuah bas di Segamat.
“Pada awalnya saya pelik kenapa orang ramai berjalan kaki di tepi jalan, rupa-rupanya sebuah bas dilihat telah dibakar oleh komunis,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita sempena Program Ziarah Pejuang anjuran Hospital Kumpulan Pakar Johor (KPJ) dengan kerjasama Pasar Raya Econsave di Batu Pahat dan Kluang.
Sementara itu, seorang bekas tentera, Ahmad Sapuan Yakub, 77, yang mengalami masalah kesihatan di kaki turut mengingatkan kepada generasi muda supaya tidak berputus asa untuk memberi sumbangan kepada negara.
Katanya, zaman sekarang wajar menghargai keamanan yang dikecapi berbanding kesengsaraan dihadapi datuk nenek mereka pada satu ketika dahulu.
“Pada zaman itu bekalan makanan amat sukar untuk didapati dan kami hanya makan hasil tanaman di sekitar rumah selain itu ketika zaman darurat itu hanya keluar rumah pada waktu siang sehingga 2 petang.
“Generasi hari ini perlu bersyukur dapat hidup secara aman harmoni tanpa sebarang kekacauan. Kita perlu berterima kasih kepada para pejuang negara dalam mendapatkan kemerdekaan dan memajukan negara ini,” katanya.
Pada lawatan berkenaan, tiga bekas tentera menerima sumbangan berupa peralatan kesihatan seperti kerusi roda dan tongkat, pakej kesihatan dan barangan keperluan.
Selain Nordin dan Ahmad, turut menerima bantuan adalah Ahmad Sapuan Yakub, 77 tahun.
Mereka dipilih kerana pernah berkhidmat sebelum kemerdekaan dan pernah menerima beberapa pingat darjah kebesaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah dan Pengurus Operasi, Pasaraya Econsave Mas Imran Adam.
Lawatan tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Hospital Pakar KPJ Johor sebagai tanda menghargai jasa pengorbanan bekas anggota perajurit di dalam menjaga keselamatan negara. – UTUSAN