Imigresen tumpas dua sindiket pemalsuan dokumen - Utusan Malaysia

Imigresen tumpas dua sindiket pemalsuan dokumen

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan dua sindiket pemalsuan dokumen yang aktif di Kuala Lumpur dalam satu operasi pada pukul 2.10 petang di dua premis perniagaan di Jalan Lebuh Pudu dekat sini, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kejayaan tersebut hasil perkongsian maklumat risikan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selama hampir dua bulan.

Katanya, hasil operasi itu berjaya menangkap 15 lelaki warga Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang warga tempatan.

Warga tempatan berkenaan merupakan pemilik premis yang disewakan kepada warga asing terbabit dan  dikenakan saman saksi bagi membantu siasatan.

“Aktiviti ini dihidu dan dipantau sejak Mei tahun lalu sebagai tindakan susulan setelah berlakunya pendaratan etnik Rohingya di Pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac tahun lalu.

“Perkembangan maklumat perisikan yang menjurus kepada pembuktian rangkaian aktiiviti sindiket ini mendorong kepada keperluan untuk melibatkan kedua-dua pihak dalam menjayakan pembanterasan aktiviti sindiket secara bersepadu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Indera Khairul Dzaimee berkata, sindiket tersebut dipercayai beroperasi selama dua tahun dan mendapati kira-kira 30 hingga 50 pelanggan berurusan dengan sindiket tersebut setiap hari.

Katanya, hasil risikan dan siasatan awal mendapati sindiket pemalsuan dokumen didalangi oleh warga Myanmar dan modus operandi dengan membuat pelbagai dokumen palsu yang mensasarkan warganegara Myanmar dari etnik Rohingya dan Arakan (Islam) Myanmar.

Katanya, pelanggan dikenakan caj bayaran bergantung kepada jenis dokumen yang ditempah di antara RM30 hingga RM150. 

“Dokumen palsu yang ditempah pelanggan akan disiapkan dan diserahkan kepada pelanggan pada hari yang sama bagi Lembah Klang manakal di luar Lembah Klang, pelanggan perlu menghantar butiran peribadi serta gambar melalui aplikasi Whatsapp, Viber, Imo atau e-mel.

“Dokumen yang telah siap akan dihantar melalui kurier setelah bayaran dibuat,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak juga menemukan surat rayuan, surat perlindungan, surat bantuan perubatan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk warga Myanmar.

“Sindiket ini menyasarkan etnik Rohingya yang baru tiba di negara ini secara haram dengan menyediakan dokumen palsu seperti kad UNHCR dan kad pertubuhan Rohingya,’’ katanya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya