Imigresen tangkap 25,434 PATI dalam tempoh 8 bulan - Utusan Malaysia

Imigresen tangkap 25,434 PATI dalam tempoh 8 bulan

HAMZAH Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menangkap sebanyak 25,434 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam 4,764 operasi yang dijalankan sejak Januari hingga 11 Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah tersebut, 18,575 melibatkan tangkapan menerusi operasi manakala selebihnya melalui kawalan pintu masuk dan serahan.

“Kita juga turut menangkap 269 majikan yang melakukan kesalahan. Majikan ini bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari Indonesia, Thailand, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain.

“Ini membuktikan kita benar-benar mahu melihat majikan yang mahukan pekerja asing ini (diambil bekerja) biarlah melakukannya mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 dan Majlis Jasamu Dikenang Jabatan Imigresen, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

Menurut Hamzah, Jabatan Imigresen dalam masa sama turut berjaya mengusir seramai 21,241 PATI pulang ke negara masing-masing sejak Januari lalu.

Katanya, sebanyak 15,957 pendatang tanpa izin berada di depoh tahanan Imigresen ketika ini ekoran proses penghantaran mereka ke negara asal mengambil masa memandangkan masalah penularan wabak Covid-19.

Ini kerana jelasnya, negara asal PATI berkenaan masih belum bersedia menerima rakyat asal mereka daripada Malaysia, justeru beberapa tindakan perlu diambil termasuk penyediaan dokumentasi sebelum dihantar pulang.

“Agak sukar untuk menghantar PATI pulang pada ketika ini kerana negara mereka masih belum bersedia menerima rakyat mereka dari Malaysia.

“Apabila kita hendak hantar mereka balik, yang pertama kita harus pastikan negara belah sana juga sudah bersedia. Kita tidak boleh terus menghantar mereka begitu sahaja kerana takut negara sana tidak bersedia dan kita menjalinkan kerjasama bersama kedutaan negara mereka di sini. Apabila dokumentasi sudah sedia, baru kita hantar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN