JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini adalah antara tiga hospital kerajaan di Johor yang belum memiliki sijil Perakuan Bomba (FC) sehingga hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, permohonan FC bagi ketiga-tiga hospital berkenaan masih dalam proses dan dijangka selesai selewat-lewatnya tahun depan.
Menurut beliau, hospital berkenaan walau bagaimanapun dibenarkan beroperasi dengan pemerhatian bomba tetapi enggan mendedahkan nama dua hospital lain tersebut.
“Kita perlu faham, permohonan FC memakan kos dan masa kerana banyak perkara perlu diberi perhatian antaranya sistem pencegahan kebakaran, pasukan tindakan kecemasan (ERT) serta penyelenggaraan bangunan yang baik.
“Kita juga tidak boleh menghentikan operasi hospital terlibat jadi ketika ini ia beroperasi dengan pemerhatian bomba dan mereka mematuhi langkah keselamatan kebakaran,” katanya selepas Program Ibadah Qurban JBPM negeri di sini semalam.
Kata Yahaya, tidak semua bangunan dalam kawasan hospital perlu memiliki FC seperti bangunan setingkat tetapi bagi bangunan bertingkat ia memerlukan FC.
Sementara itu, tujuh buah hospital kerajaan lain di negeri ini antara 26 bangunan milik kerajaan di negeri ini memiliki FC manakala 55 bangunan lain masih dalam proses diberi sijil perakuan bomba.
“Premis yang ditetapkan untuk memiliki FC di seluruh negeri ini melibatkan bangunan kerajaan dan swasta semuanya berjumlah 2,530 dengan 2,013 daripadanya telah memperoleh sijil berkenaan,” ujarnya.