Hidupkan kembali semangat Rukun Negara - Utusan Malaysia

Hidupkan kembali semangat Rukun Negara

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha menghidupkan kembali semangat Rukun Negara dan memastikan peranannya yang sah dalam membina sebuah negara yang bersatu perlu dipergiat selaras dengan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tidak harus dilupakan bahawa tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang wujud setelah peristiwa 13 Mei 1969.

Beliau berkata, keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang memutuskan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai agenda utama kerajaan adalah satu perkara yang dialu-alukan.

Beliau berharap perkara tersebut dapat mendorong kerajaan menggunakan lima prinsip Rukun Negara sebagai asas untuk merumus dasar dan melaksanakan tindakan serta program.

“Pada tahun-tahun akan datang kerajaan dan rakyat harus menjalankan peranan masing-masing untuk memupuk perpaduan nasional.

“Antaranya menerusi langkah seperti terus mendukung Perlembagaan Persekutuan dan pertahankannya, hormati dan menerima semua kaum dalam negara kita yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, rakyat harus menguatkan semangat kesederhanaan dan menolak segala bentuk ekstremisme serta membina perpaduan dalam kepelbagaian untuk mencerminkan realiti Malaysia yang berbilang kaum.

Katanya, walaupun golongan muda dapat mengetahui tentang perjuangan kemerdekaan daripada buku teks namun mereka harus mendapatkan maklumat melalui penceritaan orang lebih tua.

“Lebih baik juga jika mereka mendapatkan maklumat daripada ibu, bapa dan datuk nenek mereka, kemudian tuliskan peristiwa tersebut untuk generasi akan datang.

“Masukkan kisah kehidupan nyata mereka iaitu kepahlawanan, pengorbanan, kemenangan peribadi dan tindakan kolektif kerana perkara ini pasti bergema kepada orang muda dan memberi inspirasi kepada mereka untuk melakukan apa yang mereka lakukan demi masyarakat serta negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya