Hayati bulan kemerdekaan, tolak tepi politik - Utusan Malaysia

Hayati bulan kemerdekaan, tolak tepi politik

H. PUVANITEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin politik di negara ini diingatkan untuk menghayati bulan kemerdekaan pada 31 Ogos nanti disamping mengetepikan isu politik yang tidak berkesudahan. 

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, H. Puvaniten berkata, sepanjang bulan ini ia seharusnya diterapkan dengan penghayatan terhadap Jata Negara, Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Rukun Negara dan menghormati institusi beraja serta memupuk nilai-nilai patriotisme dalam diri. 

“Sebagai pemimpin tidak seharusnya mengendahkan perkara ini. Siapa lagi yang berperanan dalam mewujudkan semangat perpaduan dan memahami maksud pada setiap lambang Jata Negara dan rukun negara kalau bukan pemimpin?

“Jangan asyik sibuk berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian merujuk kepada beberapa isu  melibatkan kedaulatan negara dicabul oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Awal Julai lalu, tular dalam media sosial berkenaan sebuah buku bertajuk Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia yang didakwa mirip Jata Negara. 

Buku tersebut dikatakan menunjukkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang manakala terdapat imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.

Bagaimanapun, penerbit buku tersebut, Chong Ton Sin, dilapor berkata, pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja. 

Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh kes vandalisme terhadap mural baru-baru ini yang memaparkan beberapa pemimpin seperti Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah yang diconteng menggunakan semburan cat merah.  

“Banyak perkara berlaku saban tahun yang menunjukkan betapa rakyat di negara ini tidak memandang serius tentang hal ini  malah ada yang mencuba mengingkari prinsip dan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya