IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini semalam akibat serangan angin ahmar dilaporkan dalam keadaan stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, Harussani mengalami serangan angin ahmar ekoran berlaku pendarahan pada sebelah kanan kepala.
Menurutnya, Harussani masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.
“Beliau sudah sedar tetapi tidak boleh bercakap.
“Kejadian berlaku ketika beliau bangun untuk solat Subuh semalam. Beliau rasa tidak selesa dan terus dikejarkan ke hospital,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Muafakat Nasional di sini semalam.
Menurut Mohd. Akmal, keadaan Harussani sebelum ini berkerusi roda dan banyak berehat.
“Marilah kita berdoa agar keadaan kesihatan beliau kembali seperti biasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE