Gambar agih wang: UMNO Tanjong Karang buat laporan polis - Utusan Malaysia

Gambar agih wang: UMNO Tanjong Karang buat laporan polis

NOH Omar (enam kiri) bersama pemimpin sayap parti bahagian itu ketika membuat laporan polis di Balai Tanjong Karang, Kuala Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar hari ini membuat laporan polis berhubung penularan dua gambarnya yang didakwa sedang mengagihkan wang tunai kepada pengundi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Turut membuat laporan polis ialah tiga sayap UMNO Bahagian Tanjong Karang iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan juga Puteri beserta Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian tersebut.

Noh yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, gambar yang ditularkan itu adalah ketika beliau mengagihkan sumbangan bantuan awal persekolahan dalam sebuah program anjuran Kementerian Pendidikan di sebuah sekolah.

“Ketika memberikan sumbangan, saya berada di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku seorang menteri.

“Saya berasa sangat kesal dan terkilan apabila gambar tersebut diguna pakai dengan menuduh mengagihkan duit kepada pengundi di DUN Slim,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Tanjong Karang di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu gambar di laman sosial Facebook gambar Noh didakwa cuba membeli jiwa pengundi dengan mengagihkan wang di PRK DUN Slim dengan melabelkan tindakan Noh itu sebagai ‘PRK Slim-Cash is King’.

Mengulas mengenai perkara itu, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menjelaskan, dia mendapat maklumat berkenaan tuduhan itu melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook pada pukul 9.30 pagi tadi.

“Saya sangat terkejut dengan tohmahan berkenaan. Perkara ini boleh menimbulkan huru-hara kepada rakyat dan juga negara dengan fitnah yang tersebar.

“Oleh demikian, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab agar perkara sama tidak berulang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN