eBazar: Puspanita P.Pinang sasar penglibatan teramai - Utusan Malaysia

eBazar: Puspanita P.Pinang sasar penglibatan teramai

ARIDA Abdul Razak (tiga dari kiri) bersama Abdul Razak Jaafar (dua dari kanan) ketika majlis pelancaran eBazar Puspanita Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Pulau Pinang menyasarkan seramai mungkin ahlinya untuk terlibat dengan perkhidmatan bazar online atau eBazar yang dilancarkan sejak 1 Julai lalu.

Pengerusinya, Datin Arida Abdul Razak berkata, sehingga kini, sekurang-kurangnya 171 daripada keseluruhan 5,358 ahli di negeri ini telah memanfaatkan peluang yang ditawarkan itu dengan sepenuhnya.

“Saya berharap ahli Puspanita Pulau Pinang yang selebihnya juga akan mengambil inisiatif ini dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

“Gunakanlah platform yang kami sediakan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Meskipun telah dilancarkan sejak 1 Julai lalu, perasmian eBazar itu hanya dilakukan semalam oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Penasihat Puspanita negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar.

Difahamkan, eBazar yang dikhususkan untuk urusan jual beli barangan serta produk dan perkhidmatan secara dalam talian itu merupakan yang pertama seumpamanya diwujudkan.

Selain boleh diibaratkan sebagai sebuah pusat sehenti bagi peniaga dan pembeli, kewujudan eBazar itu juga tepat pada masanya ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19 sehingga meninggalkan impak yang besar terhadap ramai usahawan termasuk daripada kalangan ahli Puspanita sendiri.

Dalam pada itu, Arida memberitahu, mana-mana ahli yang berminat untuk turut serta dalam eBazar itu boleh berbuat demikian dengan melayari laman Facebook eBazar Puspanita Pulau Pinang dan membuat permohonan untuk menjadi rakan Facebook mereka.

“Anda secara tidak langsung akan dapat mengikuti kumpulan eBazar dan memperolehi pelbagai info berkenaan produk-produk terbaharu daripada usahawan yang mengambil bahagian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN