PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah meminta ibu bapa yang mempunyai anak berusia di bawah dua tahun supaya mengurangkan aktiviti bersama anak itu di luar rumah bagi mengelak daripada terdedah kepada virus Covid-19.
Katanya, ini kerana kanak-kanak pada usia itu tidak digalakkan memakai pelitup muka dan hidung kerana dikhuatiri boleh lemas dan menjadi punca kepada masalah kesihatan lain.
“Mereka ini adalah antara golongan yang berisiko dan jangan dibawa ke tempat awam atau sempit. Kita perlu lindungi mereka.
“Sekiranya kanak-kanak di bawah dua tahun dipakaikan pelitup separuh muka, kita risau mereka akan lemas dan tidak pandai membuka (pelitup separuh muka) sendiri. Jika ada hingus akan ada masalah kepada kanak-kanak tersebut.
“Sebab itu, rumah sendiri merupakan kawasan yang paling selamat,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19 di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka bermula 1 Ogos lalu kepada orang ramai di tempat awam, namun, pengecualian diberikan kepada beberapa golongan seperti kanak-kanak di bawah usia dua tahun, individu yang mempunyai masalah pernafasan, individu yang tidak sedarkan diri dan tidak berupaya membuang sendiri pelitup separuh muka tanpa bantuan.
Beliau turut mencadangkan agar pemilik premis perniagaan melakukan sanitasi setiap hari bagi menjaga kebersihan dan mengurangkan jangkitan virus berkenaan.
“Langkah ini kerana tempat-tempat berkenaan kerap disentuh oleh orang ramai,” ujarnya.