ISKANDAR PUTERI: Dua tukang paip bukan sahaja tidak sempat melarikan barang berharga dari rumah yang dipecah masuk tetapi lebih malang apabila kena cekup dengan polis.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian pukul 10.15 pagi berlaku di Taman Laman Setia, Gelang Patah semalam.
Menurut beliau, polis menerima maklumat daripada pengadu yang ternampak seorang lelaki berada di atas bumbung rumah jirannya yang tiada di rumah.
“Polis yang dihantar ke lokasi menahan dua lelaki berkenaan. Mereka didapati telah masuk ke d rumah yang pemiliknya berada di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki itu mendapati mereka tidak mendapat apa-apa barang berharga.
“Ujian air kencing kedua-dua lelaki itu negatif dadah tetapi mereka mempunyai tiga rekod jenayah,” kata beliau.
Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek ditahan reman tiga hari bermula semalam untuk disiasat d bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE