Dua projek rundingan terus KPKT sah melalui Guan Eng - Zuraida - Utusan Malaysia

Dua projek rundingan terus KPKT sah melalui Guan Eng – Zuraida

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang melalui rundingan terus pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sah diluluskan oleh Menteri Kewangan terdahulu, Lim Guan Eng.

Ia adalah projek sisa pepejal Taman Beringin bernilai RM170.3 juta dan projek sistem perisian perakaunan Century bernilai RM501,206.37.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya sudah membuat siasatan berhubung kedua-dua projek berkenaan semalam dan segera menemukan jawapan.

“Seperti yang dijanjikan, saya sudah menyiasat dan sekarang mahu mengumumkan apa yang saya dapati. Sekarang, saya mengesahkan bahawa rundingan terus kedua-dua projek itu dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuraida memberitahu, fakta itu amat jelas berbeza dengan tuduhan ahli-ahli politik PH bahawa projek sisa pepejal Taman Beringin adalah merupakan rundingan terus KPKT.

Katanya, rundingan terus itu dilakukan antara penasihat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghafar yang merupakan penyokong tegar PH dengan Guan Eng pada 26 November 2018.

“Pada pertemuan itu, Guan Eng bukan hanya membincangkan mengenai rundingan semula projek, tetapi bersetuju untuk mengurangkan kos yuran penjimatan pada 10 peratus iaitu kurang daripada kos asal dengan alasan untuk melakukan penjimatan kerajaan,” ujarnya.

Zuraida mendakwa, Guan Eng kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk bertemu KPKT bagi membentangkan kertas kerja dan tindakan susulan.

Seterusnya, projek itu diluluskan Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari tahun lalu 2019 iaitu surat dari kementerian itu kepada Ketua Setiausaha KPKT.

Sementara bagi projek perisian Century, beliau memberitahu, ia melibatkan lima kementerian berasingan yang juga diluluskan oleh Guan Eng.

“Saya harap pada masa hadapan, ahli-ahli politik PH dan bekas menteri-menteri akan memeriksa fakta sebelum ia menjadi salah tanggapan kepada rakyat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya