KUALA LUMPUR: Seorang penyeludup maut terkena tembakan ketika bergelut dengan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) di perairan Tanjung Kelesa, Johor hari ini.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kejadian tembakan berlaku selepas penyeludup bertindak agresif dan cuba merampas senjata api milik anggota penguat kuasa.
“Dalam usaha memberhentikan bot tersebut berlaku pergelutan dan tekong bot cuba merampas senjata api anggota penguat kuasa sehingga tercetusnya insiden tembakan dan mengakibatkan seorang penyeludup terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum kejadian, Maritim Zon Tanjung Sedili menerusi Op Benteng Laut berjaya mematahkan cubaan membawa keluar 900 ekor burung Murai Batu dan Murai Kampung.
Katanya, penyeludup menggunakan dua buah bot fiber sebelum ditahan maritim pukul 1.30 pagi dan 2.15 pagi di kedudukan 2.0 dan 2.1 batu nautika utara Tanjung Kelesa, Bandar Penawar.
Menurut Nurul Hizam, bot pertama dinaiki dua lelaki warga tempatan manakala bot kedua dinaiki tiga lelaki Indonesia.
Kesemua tahanan berumur dalam lingkungan 40 hingga 62 tahun.
“Bot pertama membawa muatan lebih kurang 90 bakul yang diisi burung Murai Batu dan Murai Kampung. Mereka meenunggu sebuah lagi bot dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.
Nurul Hizam berkata, nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM290,000 termasuk dua buah bot dan 90 bakul dengan muatan 10 ekor burung murai setiap bakul.
Kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – UTUSAN ONLINE