PASIR GUDANG: Dua pekerja penyelengaraan kapal pengsan ketika sedang melakukan kerja mengecat kapal di Malaysia Marine Heavy Engineering (MMHE) di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 2.34 petang.
“Dua jentera dengan kekuatan seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati dua mangsa yang pengsan di ruang dalam kapal semasa melakukan kerja-kerja mengecat kapal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, seorang mangsa dikeluarkan oleh pasukan kecemasan MMHE sebelum pasukan bomba tiba ke lokasi.
“Bagi mengeluarkan mangsa kedua pula, anggota bomba terpaksa memakai pakaian khas untuk memasuki ruang dalam kapal.
“Mangsa kedua akhirnya berjaya dijumpai dan dibawa keluar dengan selamat.
“Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 26 dan 30 tahun itu telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan MMHE dan kemudian dihantar ke hospital berdekatan dengan menggunakan ambulans MMHE,” katanya. – UTUSAN ONLINE