Dua anggota polis dikenakan waran tangkap - Utusan Malaysia

Dua anggota polis dikenakan waran tangkap

AYOB KHAN MYDIN PICTHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Waran tangkap dikeluarkan terhadap dua anggota polis kerana gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini untuk menghadapi pertuduhan kes membantu ahli jenayah terancang Geng Otong.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 15 Oktober ini.

Katanya, mereka adalah antara lapan anggota penguat kuasa yang berdepan pertuduhan mahkamah kerana membantu ahli jenayah terancang.

“Dalam Op Pintas Selatan dan Benteng yang dijalankan polis sebelum ini, sebanyak 19 anggota penguat kuasa ditangkap antara 12 Jun hingga 19 Jun lalu.

“Setelah kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, lapan termasuk dua tentera dituduh ke mahkamah manakala tujuh lagi untuk tindakan jabatan dan empat masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan menasihatkan semua anggota penguat kuasa pelbagai agensi supaya tidak terlibat dan bersekongkol membantu atau menjadi ahli kepada kumpulan jenayah terancang.

Tegas beliau, polis tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat.

Terdahulu, dua tentera merupakan antara enam anggota penguat kuasa yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas tuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong.

Selain itu, empat anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal turut berdepan tuduhan kes sama.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa membantu ahli kumpulan jenayah Geng Otong di Daerah Kota Tinggi antara pada 28 September 2017 hingga April 2020.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya