KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad diyakini bijak dan rasional dengan tidak melakukan sesuatu yang mampu menggagalkan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (COVID-19) 2020).
Penganalisis politik, Prof Madya Dr. Kartini Aboo Talib berkata, sebagai negarawan, bekas Perdana Menteri itu akan menyokong RUU berkenaan kerana ia memberi kelebihan dan manfaat kepada rakyat.
“Asas paling utama ialah matlamat RUU Covid-19 itu sendiri yang bermaksud melindungi kesejahteraan rakyat.
“Mereka ini adalah golongan yang akan terkesan dengan RUU berkenaan. Jadi tiada sebab untuk Dr. Mahathir tidak menyokong kerana ia memberi kelebihan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
RUU Covid-19 berkaitan pembekalan tambahan sebanyak RM45 bilion bagi membantu rakyat yang sengsara akibat Covid-19 akan dibahas untuk diluluskan di Parlimen Isnin ini.
Ia bagi membolehkan kerajaan menaikkan had statutori jumlah amaun wang yang boleh diperdapat di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 daripada 55 peratus kepada 60 peratus.
Menurut Kartini yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), seandainya Dr. Mahathir tidak menyokong dan mempunyai pandangan berbeza, ia tidak perlu dijadikan modal politik sehingga mencetuskan polemik.
Katanya, tanpa sokongan Dr. Mahathir sekali pun, RUU tersebut tetap berjaya sekiranya semua ahli parlimen memberi sokongan dengan mengambil kira apa yang terbaik kepada rakyat sebagai pengguna.
“Undi Dr. Mahathir memang penting tetapi Parlimen tidak perlu melatah jika beliau mempunyai pandangan berbeza. Jika semua ahli parlimen bersetuju, usul tersebut tetap berjaya tanpa undi beliau,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Faisol Keling berkata, sebagai individu yang mempunyai latar belakang doktor perubatan, Dr. Mahathir perlu memberi sokongan kepada RUU berkenaan.
Malah katanya, negarawan itu sendiri pernah dikuarantin akibat wabak berkenaan.
“Namun dibimbangi sekiranya beliau menggunakan isu tersebut untuk memburukkan kerajaan.
“Ini kerana pembangkang boleh menjadikan apa-apa isu selagi ia dapat memberikan gambaran buruk kepada kerajaan walaupun isu Covid-19 membabitkan keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya.
Mohd. Faisol berkata, penolakan blok pembangkang berkaitan RUU berkenaan menunjukkan hal ehwal peribadi lebih diutamakan berbanding kebajikan rakyat.
Katanya, dalam konteks tersebut, parti yang menyokong kerajaan memainkan peranan penting sebagai pemberat kepada kejayaan penggubalan sesuatu dasar.
“Adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengutamakan undian blok kerajaan berbanding pembangkang kerana mereka mampu menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk tujuan peribadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE