TANJUNG MALIM: Calon Bebas, S. Santharasekaran mengharapkan kelebihannya sebagai anak tempatan yang amat dikenali di sekitar Slim, termasuk di kawasan Felda untuk beliau mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Sebagai seorang bekas guru, Santharasekaran berkata, dia juga mempunyai ramai bekas anak murid di sekitar Slim yang kini sudah layak mengundi dan yakin mereka akan memilihnya pada hari mengundi 29 Ogos ini.
Menurutnya, dua faktor itu menjadikan beliau begitu bersemangat untuk meraih banyak undi malah yakin akan menang dalam PRK Slim.
“Dalam kempen saya, pengundi yang ditemui berkata saya patut dipilih mewakili mereka kerana saya bekas guru dan mampu memimpin mereka ke arah lebih baik.
“Saya juga mempunyai ramai anak murid yang sudah layak mengundi. Mereka mahu saya menjadi wakil rakyat untuk membela nasib mereka terutama Orang Asli,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Santharasekaran, 44, beliau yakin mampu menarik undi yang besar terutama undi kaum India yang mewakili 13 peratus daripada lebih 23,000 pengundi keseluruhan dalam DUN Slim serta Orang Asli dua peratus.
Bagi pengundi Cina yang mewakili 10 peratus daripada keseluruhan pengundi, beliau menyifatkan pengundi Cina keliru.
“Saya yakin berpeluang meraih undi yang banyak kerana dalam PRK, biasanya jumlah yang keluar mengundi agak rendah. Daripada lebih 23,000 pengundi berdaftar di DUN Slim, mungkin hanya sekitar 17,000 yang akan keluar mengundi,” katanya.
Pada PRK Slim, Santharasekaran akan bertanding menggunakan lambang Buku manakala seorang lagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, lambang Pokok.
BN mencalonkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Abdul Aziz, 43, untuk mempertahan kerusi yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).