Dihalang masuk pantai: Pemuda dipukul dengan topi keledar, spanar - Utusan Malaysia

Dihalang masuk pantai: Pemuda dipukul dengan topi keledar, spanar

TANGKAP layar video yang tular memaparkan seorang lelaki dipukul di Pantai Kelanang, Banting, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: Seorang pemuda cedera di bahagian muka akibat dipukul menggunakan topi keledar dan spanar dalam kejadian di kawasan Pantai Kelanang di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu dikatakan berlaku ketika Muhd. Amin Kamaruddin, 19, dihalang memasuki kawasan pantai tersebut oleh sekumpulan lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian bermula apabila mangsa bersama seorang rakannya berusia 18 tahun menaiki motosikal memasuki ke kawasan pantai, namun dihalang sekumpulan lelaki.

Katanya, mangsa bertanyakan mengapa dia dan rakannya tidak dibenarkan masuk ke kawasan pantai kepada salah seorang daripada kumpulan tersebut, namun berlaku pertengkaran antara mereka.

“Dipercayai tidak berpuas hati, kumpulan terbabit memukul mangsa dengan topi keledar dan spanar. Walaupun orang ramai cuba menghalang, mangsa tetap dipukul.

“Bagaimanapun, menyedari orang semakin ramai, kumpulan ini bertindak melarikan diri. Mangsa didapati tidak berbaju dan tidak sedarkan diri selain mengalami kecederaan di muka serta berdarah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azizan, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Banting untuk menerima rawatan dan dibenarkan pulang awal pagi tadi.

“Polis sedang menjalankan siasatan dan sedang mengesan kumpulan terbabit yang ahlinya dikenali dengan nama Azreen, Pie dan Piji serta beberapa lagi rakannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN