KLANG: Strategi meletakkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bagi menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 hanya perkara kecil yang tidak perlu dibimbangkan.
Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya tidak khuatir sekiranya benar dakwaan PKR mahu meletakkan Nurul Izzah, bagi mengalahkan bekas Timbalan Presiden PKR di Gombak.
“Saya tidak peduli pun siapa mahu menghancurkan atau mengalahkan siapa ketika ini.
“Apa yang penting adalah kami mahu terus berkhidmat untuk rakyat bersama pemerintahan kerajaan sedia ada,” kata Ahli Parlimen Ampang ketika ditemui pada program Kenduri Rakyat Prihatin di Kampung Bukit Kapar di sini semalam.
Sebuah portal melaporkan, aura Nurul Izzah yang juga Puteri Reformasi diramal mampu menarik sokongan orang muda sekali gus menamatkan riwayat Mohamed Azmin sebagai Ahli Parlimen Gombak.
Ketika ditanya berhubung kemasukan beliau dan beberapa ahli parlimen daripada Kem Azmin ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zuraida berkata, satu program khas akan diadakan di Kuala Lumpur Sabtu ini.
“Kami akan membuat pengumuman rasmi berhubungnya sekali gus menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.
Februari lalu, PKR memecat Mohamed Azmin dan Zuraida daripada parti berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN ONLINE