Debat TH: Mujahid tunggu Azeez respons - Utusan Malaysia

Debat TH: Mujahid tunggu Azeez respons

MUJAHID YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Ini bukan soal peribadi, tetapi demi kepentingan pendeposit dan umat Islam’, demikian kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Rawa ketika menjawab isu perdebatan antaranya bersama bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Katanya, beliau menunggu masa yang ditetapkan pihak penganjur serta respons bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim untuk menjayakan perdebatan itu.

Menurut Mujahid, beliau sudah bersedia dengan hujah-hujah yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat.

“Ini bukan soal siapa nak menang, tapi kita nak lihat keutamaan terhadap kepentingan TH, ini juga bukan tentang kepentingan peribadi saya atau dia (Azeez), tapi merentasi kepentingan politik.

“Saya dah nyatakan yang saya bersedia untuk perdebatan, saya pun dah maklumkan kepada pihak yang ingin menganjurkan perdebatan, cuma belum ada respons daripada Azeez, ia perlu disegerakan, kita boleh kemukakan hujah dan biar orang awam menilai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Mujahid mencabar Azeez untuk berdebat mengenai kedudukan institusi kewangan yang menguruskan dana umat Islam itu dan dakwaan-dakwaan perkembangan TH sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau tiada masalah untuk menjemput Azeez membentangkan segala fakta dan dakwaan dalam perdebatan nanti.

Katanya, beliau mahu berdebat secara terbuka selepas Ahli Parlimen Baling itu `galak’ mencelah ketika beliau berucap di Parlimen pada 15 Julai lalu.

“Oleh kerana tak mahu isu ini dipolitikkan, hingar-bingar di Parlimen, adalah lebih baik saya dan Azeez sebagai bekas Pengerusi TH duduk dalam suasana lebih tenang, kemukakan hujah dengan baik.

“Saya bersedia untuk perkara itu,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN