IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki setelah didapati bersalah membunuh tiga kanak-kanak dua tahun lalu.
Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 37, turut dikenakan hukuman penjara enam tahun bagi kesalahan cubaan membunuh dan masing-masing dua tahun penjara bagi tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata bahaya.
Hakim Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah sebaliknya pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap semua pertuduhan yang dihadapi.
Anselm Charles berkata, keterangan Pakar Perunding Forensik dari Hospital Bahagia Ulu Kinta mengesahkan tertuduh waras semasa melakukan perbuatan tersebut.
Tertuduh yang memakai baju penjara berwarna putih hanya tunduk ketika hukuman terhadapnya dijatuhkan.
Terdahulu, dalam rayuan terhadap anak guamnya, peguam bela T. Ellanggovan memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan tertuduh bekerja sebagai buruh yang menyara seorang ibu berusia 80 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan menyatakan hukuman gantung sampai mati adalah wajar untuk kesalahan bunuh dan memohon hukuman setimpal bagi kesalahan lain.
Anselm Charles kemudian menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dan penjara selama 12 tahun terhadap tertuduh bermula tarikh dia ditangkap pada 17 Mei 2018.
Mengikut pertuduhan, Shahrul Pitri didakwa atas tiga tuduhan berasingan membunuh Nur Zia Fasihah Mohd. Fadzil, 2, serta dua abangnya, Muhammad Firash Zafrill, 3, dan Muhammad Faqih Zahirulhaq, 5.
Perbuatan itu dilakukan di rumah projek bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara pukul 2.30 dan 2.40 petang 17 Mei 2018 iaitu pada hari pertama umat Islam berpuasa ketika itu. – UTUSAN