PAGOH: Kejayaan negara bagi mengekang pandemik Covid-19 adalah bergantung kepada sejauh mana peranan masyarakat di dalam menjaga aspek kawalan kendiri menerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kempen berkenaan adalah bertujuan untuk mencetuskan pembudayaan norma baharu di dalam kalangan rakyat yang merupakan satu tanggung jawab bersama.
“Rakyat perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguat kuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu dapat diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini.
“Yang jelas kita perlu memastikan bahawa kehidupan mengikut norma baharu ini diteruskan selagi mana wujud ancaman Covid-19,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu dengan slogan ‘Bersama Hentikan Wabak Covid-19’ di Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam.
Yang hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad , Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti mengandungi pelbagai penerangan dan infografik sebagai panduan serta rujukan orang ramai.
Buku itu diterbitkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Kesihatan boleh didapati dalam bentuk digital melalui imbasan kod QR dan laman sesawang www.infosihat.gov.my.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri melakukan penyerahan peruntukan bagi pelaksanaan Program Pembudayaan Norma Baharu di peringkat negeri bagi memastikan kempen itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Muhyiddin meminta rakyat terus mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kata beliau, usaha itu perlu melibatkan pemimpin masyarakat, ketua agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli kariah surau serta masjid yang bersama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing.
“Kita wajar bersama-sama mengingatkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing agar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Dengan kerjasama padu dan peranan kepemimpinan masyarakat, kita akan terus mampu memutuskan rantaian jangkitan pandemik ini,” katanya.
Perdana Menteri menambah, norma baharu yang perlu diberikan perhatian adalah mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempit dan bersembang dengan jarak dekat.
“Selain itu, jangan lupa untuk kita sentiasa amalkan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka serta sentiasa mengikuti peringatan daripada pihak berkuasa,” katanya.