GEORGETOWN: Operasi perniagaan sukan air di destinasi pantai popular di Pulau Pinang turut terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sehingga ada dalam kalangan pengusaha hilang sumber pencarian utama.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Batu Ferringhi di sini petang semalam mendapati, kurang daripada lima pengunjung tempatan memilih bermain sukan air manakala selebihnya sekadar bersiar-siar di persisiran pantai.
Difahamkan, terdapat 15 pengusaha menjalankan operasi perniagaan sukan air di situ sejak lebih tujuh tahun lalu.
Seorang pengusaha, Zairul Hasnizal Ismail, 37, berkata, perniagaannya antara yang paling terkesan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama awal Mac lalu.
Menurutnya, sebelum ini sukan air menjadi pilihan utama pelancong termasuk dari negara Timur Tengah dan Eropah sekitar Jun, Julai serta Ogos setiap tahun.
“Sebelum PKP, pendapatan diperoleh sangat memberangsangkan walaupun hanya dibenarkan beroperasi selama tiga hari dalam seminggu iaitu Jumaat hingga Ahad.
“Namun ketika ini pendapatan kami terjejas teruk. Saya terpaksa memberhentikan enam daripada 11 pekerja dan menggunakan wang simpanan untuk membayar gaji mereka sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut beliau, perniagaannya ketika ini hanya bergantung penuh kepada pengunjung yang menginap di sebuah hotel berhampiran.
Ujarnya yang telah membuka perniagaan sukan air sejak sembilan tahun lalu itu, pendapatan yang diperoleh hanya mencukupi untuk membayar gaji pekerja dan menyelenggara enjin bot serta jet ski yang menelan belanja RM1,500 sebulan.
“Saya juga mempunyai tanggungan keluarga termasuk adik beradik lain. Sekiranya masalah ini berterusan kemungkinan besar lebih ramai lagi pengusaha sukan air di negeri ini akan gulung tikar.
“Saya merayu kerajaan Pusat membantu meringankan be ban golongan pengusaha sukan air kerana kami juga antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor pelancongan,” ujarnya.
Dia juga merayu kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) terhadap operasi sukan air di negeri ini. – UTUSAN ONLINE