Bersatu Selangor belum berbincang dengan UMNO, Pas - Utusan Malaysia

Bersatu Selangor belum berbincang dengan UMNO, Pas

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (dua kiri) menerima borang keahlian Bersatu daripada Bahagian Kapar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor belum lagi mengadakan apa-apa perbincangan atau mesyuarat termasuk pembahagian kerusi bersama dua parti komponen Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO dan Pas.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membabitkan komponen akan dijalankan selepas penyertaan Bersatu dimuktamatkan di dalam gabungan berkenaan.

“Setakat ini, tiada lagi perbincangan kerana kita tunggu pendaftaran MN diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, selepas itu baru kita akan mengadakan sebarang perbincangan mengenai pengagihan kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam majlis Perasmian Persidangan Bahagian Bersatu Selangor dan Majlis Ramah Mesra bersama calon pemilihan Bersatu 2020.

Terdahulu, Abdul Rashid menerima 1,000 borang keahlian baharu ahli Bersatu daripada Bersatu Bahagian Kapar.

Mengulas lanjut mengenai terdapat pihak yang tidak bersetuju penyertaan Bersatu dalam MN, Abdul Rashid menjelaskan, persetujuan itu dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas.

“Ketika dipelawa masuk pun kita mengambil masa agak lama untuk memikirkan patut ke tidak kita menyertai MN.

“Setakat ini, kita akan membincangkan mengenai tentang meminda piagam sedia ada antara UMNO dan Pas, apabila selesai akan diumumkan. Namun, Kita yakin akar umbi akan memahami penyertaan Bersatu dalam MN,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung tindakan ahli Bersatu Selangor yang banyak keluar parti, Abdul Rashid berkata, tindakan itu tidak lebih hanya propaganda mereka yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dalam parti.

“Tindakan mereka sedikit pun tidak menjejaskan kekuatan parti Bersatu Selangor yang kini mempunyai seramai kira-kira 50,000 orang ahli,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya