Bekas pengurusan GLC mengaku terima rasuah - Utusan Malaysia

Bekas pengurusan GLC mengaku terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas timbalan pengurus besar syarikat milik kerajaan (GLC) dihukum penjara dua tahun dan denda RM766,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM153,200.

Tertuduh, Noor Hisyam Mohd. Abdullah Hashim, 46, dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Hakim menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkannya berjalan serentak yang bermula hari ini.

Selain itu, beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua tahun lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan keseluruhan berjumlah RM153,200 daripada seorang pengarah sebuah syarikat landskap sebagai balasan memperakukan tuntutan kerja syarikat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat jabatan landskap syarikat GLC berkenaan di Iskandar Puteri antara 10 Februari 2016 hingga 15 Februari 2017.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhamad Aizat Fakri dan Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya