KUALA LUMPUR: Terima wang sogokan berjumlah AS$2.5 juta (RM10.48 juta) sebagai balasan pembelian 10,000 tablet daripada sebuah syarikat luar negara.
Itu kegiatan seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat tempatan yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Lelaki berusia 48 tahun itu disyaki telah melakukan kegiatan tersebut selama empat tahun dari 2014 sehingga 2018.
Menurut sumber, pembelian tersebut dibuat secara sulit tanpa persetujuan ahli lembaga syarikatnya sehingga menyebabkan kerugian besar.
Katanya, pembelian 10,000 tablet bernilai AS$5.8 juta (RM24.3 juta) itu dipercayai untuk kegunaan syarikat CEO itu.
“Wang rasuah yang diterima tersebut turut disorok di luar negara seperti di Singapura dan Hong Kong.
“Suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin selepas hadir memberi keterangan,” katanya di sini semalam.
Tambah sumber, perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga lusa dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009). – UTUSAN