PUTRAJAYA: Pasukan Unit Penyelam Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menemukan sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Maizatulnisa Othman di Tasik Taman Perdana Putra, Puchong, semalam.
Tiga penyelam dan dua pegawai unit berkenaan menghabiskan masa lebih dua jam untuk mencari bahan bukti dipercayai telefon bimbit jenama Samsung namun tidak berjaya.
Operasi yang bermula pukul 11 pagi itu ditamatkan pada pukul 1.10 petang.
Pasukan penyelam mendapati dasar tasik berkenaan yang merupakan kawasan berbatu dipenuhi dengan sampah serta pokok-pokok.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memberitahu, operasi tersebut gagal menemui sebarang objek berkaitan yang diperlukan sebagai bukti siasatan.
“Operasi menyelam itu dilakukan pada kedalaman antara 3.7 meter dengan 9.1 meter dari tebing tasik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketika operasi itu, suspek yang bergari dan memakai pelitup muka turut dibawa ke lokasi bagi menunjukkan kawasan dia membuang telefon bimbit berkenaan.
Operasi dijalankan ekoran kematian Maizatulnisa yang juga ibu kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di dalam sebuah kereta Myvi di Tasik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pinggiran Cyberjaya dipercayai dijerut selama 10 minit menggunakan tudung yang dipakainya.
Hasil siasatan lanjut berjaya menahan penganggur berusia 41 tahun yang juga suami kepada Maizatulniza sebagai suspek utama.
Kawasan tasik tersebut turut menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan kes pembunuhan tersebut.