Ayahanda saudara Sultan Terengganu mangkat - Utusan Malaysia

Ayahanda saudara Sultan Terengganu mangkat

ALMARHUM TENGKU SRI LAKSAMANA RAJA SULTAN SULAIMAN ISMAIL NASIRUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ayahanda saudara kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Sultan Sulaiman Ismail Nasiruddin Shah mangkat kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

Almarhum yang merupakan ayahanda kepada penyanyi, Anis Suraya mangkat di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, jenazah Almarhum dijangka dimakamkan di Makam DiRaja Masjid Abidin selepas solat Maghrib hari ini.

Terdahulu, jenazah Almarhum yang dibawa pulang ke Kuala Terengganu dengan pesawat khas Tentera Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira pukul 5 petang sebelum dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir.

Sultan Mizan diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dijangka berangkat ke Balai Islam kira-kira pukul 7 malam bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Tengku Sri Laksamana Raja.

Turut dijangka berangkat, anakanda Sultan Mizan, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Sementara itu, Anis Suraya dalam satu hantaran di Facebook turut berkongsi berita duka keberangkatan ayahandanya.

Dengan berat hati dukacitanya dimaklumkan ayahanda saya, Tengku Sri Laksamana Raja mangkat di Hospital Gleneagles pada pukul 10.15 pagi tadi. 

“Jenazah dijangka disolat dan dimakamkan selepas solat Maghrib di Masjid Abidin, mohon sedekahkan al-Fatihah dan sama-sama mendoakan supaya Almarhum ayahanda ditempatkan bersama orang-orang  yang soleh, amin,” katanya dalam hantaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN