PEKAN: Kumpulan penyelidik bersama Jabatan Warisan Negara menemui serpihan seramik serta enam keping wang syiling dari zaman Dinasti Song di dasar Sungai Kuala Pahang dekat Kampung Pulau Jawa di sini Rabu lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd. Yusop berkata, kumpulan ekskavasi itu turut menemui bangkai kapal kayu yang sebahagian besarnya ditimbus tanah liat di dasar sungai.
Menurut beliau, hasil penemuan artifak tersebut bakal membuka lembaran baharu berkaitan hubungan dagang antara Pahang dan China yang pernah terjalin pada tempoh tahun 960 hingga 1279.
“Kita percaya di bawah tanah liat di dasar sungai ini ada lebih banyak artifak yang tertimbus bersama kapal dagang dari zaman Dinasti Song.
“Setakat ini, kita telah menemui serpihan tembikar dan enam keping duit syiling yang diperbuat daripada campuran gangsa serta bijih timah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mesran menambah, penemuan itu sekali gus menjadi satu lagi bukti Kuala Sungai Pahang pernah menjadi tempat persinggahan kapal dagang antarabangsa setanding pelabuhan Kesultanan Melaka.
“Kita amat berharap dapat merungkai sejarah hubungan (diplomatik) Pahang dengan kerajaan Dinasti Song melalui hubungan perdagangan di Pekan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi berkata, artifak seramik ditemui itu daripada kategori berkualiti tinggi yang pernah digunakan golongan bangsawan.
“Tembikar yang kita temui ini adalah dari jenis yang digunakan orang besar (bangsawan) dan dengan itu, kita juga akan cuba mencari (menyelidik) siapa orangnya (diplomat China yang mengetuai ekspedisi kapal dagang itu),” katanya.
Ketua ekskavasi, Datuk Dr. Dionysius Sharma pula berkata, penemuan tersebut menguatkan bukti bertulis Pahang sudah lama dikenali sebagai Pohong dalam kalangan pedagang China iaitu sejak abad kelima.
“Kita masih berusaha mendapatkan usia sebenar artifak-artifak ini. Seramik dan syiling pertama ditemui adalah di atas timbunan pasir yang dikorek dengan jentera pengorek menjalankan kerja-kerja mendalamkan sungai,” katanya. – UTUSAN