Anugerah buat golongan pendakwah - Utusan Malaysia

Anugerah buat golongan pendakwah

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang kepada Mohd. Baki Othman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bekas Pesuruhjaya Pas Pahang, Mohd. Baki Othman menyifatkan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang terhadapnya sebagai anugerah kepada semua golongan yang bergelar pendakwah. 

Mohd. Baki, 80, yang berasal dari Kampung Kening, Chenor, Maran dekat sini itu berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan penganugerahan sedemikian dan menganggap anugerah itu bukan bersifat peribadi.

Beliau yang mempunyai 11 orang anak dan 30 cucu itu berkata, anugerah tersebut merupakan sanjungan dan penghargaan daripada kerajaan negeri terhadap usaha-usaha dakwah. 

“Saya berharap agar anugerah ini memberi manfaat kepada semua pihak. Anugerah ini bukan hanya untuk saya tapi untuk semua pendakwah.

“Tokoh-tokoh yang melakukan dakwah perlu menepati makna apa yang dikehendaki berdasarkan hijrah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 2020 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang 2020 kepada Mohd. Baki disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Pada majlis tersebut, baginda turut menyampaikan lima anugerah lain iaitu Anugerah Pengkhidmat Agama kepada Pegawai Psikologi dan Kaunseling, Sharifuddin Isa Usman; Anugerah Inovasi Kakitangan kepada Ahmad Irfan Ikmal Hisham; Anugerah Inovasi Jabatan diberikan kepada Markas Wilayah Laut 1 ; Anugerah Mubaligh Saudara Baru kepada Muhammad Hasrui Muhammad Akhir dan Anugerah Perkampungan Orang Asli Islam Terbaik, Kampung Orang Asli Panderas, Kuala Krau.

Mohd. Baki yang menerima pendidikan dalam bidang Pengajian Islam di Pondok Lubuk Tapah Kelantan dan bidang Syariah dari Darul Ulum, Mekah berkata, beliau sentiasa gembira dengan usaha menghidupkan ilmu agama di surau dan masjid. 

“Ia melambangkan kepentingan ilmu dan usaha menimba ilmu agama tanpa henti amat penting bagi memastikan kelangsungan hidup sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya